Thursday, August 18, 2005

alhamdulillah

Anwar dapat RM4.5 juta

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi ganti rugi berjumlah RM4.5 juta selepas memenangi kes saman fitnah terhadap penulis buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, Datuk Khalid Jafri dan isterinya.
Ganti rugi yang diperoleh Anwar itu adalah antara yang tertinggi dalam sejarah perundangan negara.Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunos, ketika membaca keputusannya berkata, mahkamah menilai ganti rugi itu selepas mengambil kira yang dakwaan dalam buku berkenaan bukan saja banyak, tetapi juga sangat berniat jahat terhadap seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan politik seperti Anwar.
"Malah tidak ada sebarang permohonan maaf daripada defendan, dan terus ingkar sehingga hari ini."
"Ganti rugi yang diberikan mestilah membayangkan sejauh mana teruk dakwaan defendan dan juga sejauh mana kesan yang dihadapi oleh plaintif dan keluarga kerana dakwaan itu,"katanya.
Anwar memperoleh RM4 juta sebagai ganti rugi fitnah, RM500,000 kerana berlaku konspirasi sehingga membawa mudarat, serta kos.Anwar, 58, menamakan Abdul Khalid @ Khalid Jafri Bakar Shah sebagai defendan pertama; isterinya, Rozihan A Ghani (yang disaman bagi pihak syarikat penerbit, Media Pulau Lagenda) sebagai defendan kedua.Pada 20 Januari lalu, mahkamah sama membenarkan saman Anwar terhadap Khalid atas dakwaan memfitnahnya.
Anwar yang disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998, mengemukakan tuntutan ganti rugi berjumlah RM6.5 juta.Saman itu difailkan pada 18 Jun 1998, dengan mendakwa kandungan buku berkenaan berniat jahat, serta penulis dan isterinya berkomplot dengan seteru-seteru politiknya untuk memfitnah beliau dengan mendakwa antara lain, beliau adalah homoseksual, seorang pemimpin yang mengamalkan rasuah, seorang penderhaka, terbabit dalam zina dan sehinggakan mempunyai seorang anak luar nikah.
Khalid tidak hadir dalam perbicaraan kes itu kerana dia kini sedang dirawat di Hospital Selayang selepas kakinya terpaksa dipotong dari paras paha baru-baru ini berikutan penyakit diabetes kronik.
Pada 8 Julai lalu, Khalid dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Ampang selepas didapati bersalah menulis maklumat palsu dalam buku itu.
Mohd Hishamuddin berkata, kerjaya politik Anwar musnah disebabkan penerbitan buku itu dan serangan kejam terhadapnya oleh defendan-defendan yang berkomplot dengan yang lain membawa penghinaan dan cemuhan awam selain tekanan mental kepada Anwar dan keluarganya yang begitu sukar untuk dibayangkan.
Beliau berkata, tujuan utama defendan menerbitkan buku itu ialah untuk memusnahkan reputasi plaintif dan kerjaya politiknya memandangkan ia diedarkan di Perhimpunan Agung Umno 1998.


courtesy: Berita Harian

No comments:

Post a Comment